Saya juga seorang pelajar yang baru sahaja meninggalkan alam persekolahan dan universiti berbanding veteran-veteran politik di Malaysia. Antara perkara yang saya rasa paling menjengkelkan dan meloyakan adalah kehadiran wajib untuk program yang saya tidak gemari.
.
.
Kadangkala kita sedar, kehadiran wajib adalah wajar disebabkan kepentingan dan impak program tersebut. Program kenegaraan seperti sambutan Hari Malaysia contohnya amat penting untuk melibatkan para pelajar.
.
.
Namun, saya kesal pelajar-pelajar di Pagoh dikerahkan untuk ‘Majlis Perasmian Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Umno BN’. Perkara ini bukan main-main dan dianggap serius oleh Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) yang mohon tindakan diambil oleh pihak yang berkaitan.
.
.
Persoalannya, kenapa BN ingin memaksa pelajar sekolah untuk hadir ke program politik mereka. Ini jelas bukan program kerajaan negeri. Teruk sangat kah sokongan rakyat kepada Barisan Nasional sehingga terpaksa mewajibkan pelajar sekolah untuk meramaikan majlis mereka dan menyalahguna kuasa Kementerian Pendidikan sebagai alat propaganda politik kepartian mereka.
.
.
Ironinya, pelajar-pelajar universiti, mahasiswa-mahasiswi kita yang tanpa sebarang paksaan yang hadir ke program pro-pembangkang dihalang, malah tindakan disiplin diambil. Begitu juga pelajar-pelajar di luar negara, yang diberi larangan dan amaran tegas untuk tidak menghadiri program BERSIH. Itu baru BERSIH , belum program pro-pembangkang. Malah, Datuk Seri Mahdzir Khalid sendiri menempelak guru yang menyokong HARAPAN.
.
.
HARAPAN komited untuk mengubah ini. Kami tidak akan memaksa pelajar menghadiri program HARAPAN. Malah HARAPAN tidak akan menghalang pelajar-pelajar untuk menyertai program Pro-Barisan Nasional.
.
.
Jika anda tidak percaya, tanya ibu bapa di Pulau Pinang dan Selangor bagaimana kerajaan negeri beroperasi apabila ia melibatkan sekolah-sekolah. Mereka tidak menggunakan sebarang logo parti ataupun tidak berbicara sebarang topik politik. Mereka hanya hadir untuk sampaikan bantuan.
.
.
HARAPAN percaya proses menyuburkan semangat demokrasi amat penting kepada pelajar sekolah. Malah, antara Manifesto HARAPAN adalah menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun. Tetapi, ia perlu didasari dengan semangat demokrasi seperti kebebasan pelajar untuk memilih. Memaksa mereka ponteng sekolah dan wajib hadir ke program politik adalah tindakan anti-demokratik!
.
.
Sama-sama kita menuju ke arah demokrasi yang lebih subur. Harapan kami, demi Malaysia yang lebih matang.
-Syed Saddiq-
Ketua Pemuda BERSATU/PPBM